Bola Sepak

NSFC mahu kekalkan rekod cemerlang

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu memastikan rekod cemerlang di gelanggang sendiri terus kekal milik mereka dengan memastikan kemenangan dapat dicapai ke atas Sabah FC, pada aksi Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Ahad ini.

Pemain pertahanannya, A Namathevan berkata, dia yakin pasukannya mampu mempertahankan prestasi cemerlang dan kelebihan yang mereka miliki itu dengan keupayaan mencatatkan keputusan positif, Ahad ini.

Malah, dia juga yakin rakan sepasukan sudah bersedia dan akan bekerja keras memastikan misi mendapatkan mata kemenangan dapat direalisasikan sekali gus mengekalkan rekod kemenangan ke atas Sabah.

"Pada pertembungan pertama di awal musim kami menang ke atas Sabah dalam aksi di tempat lawan dan kini kami berhasrat untuk mengulangi prestasi terbaik itu di laman sendiri pula.

"Saya yakin dan percaya, pasukan mampu melakukannya selepas menang 3-0 ke atas Sri Pahang FC, minggu lalu, biarpun keputusan berbeza ketika kami menentang Terengganu FC (TFC), semalam, yang berkesudahan seri tanpa jaringan," katanya hari ini.

Bekas pemain Selangor FC berusia 25 tahun itu berkata, komitmen dan semangat rakan-rakan sepasukan kekal tinggi untuk membantu pasukan mempertahankan prestasi baik dan tidak akan merelakan tiga mata dari laman sendiri terlepas ke pasukan lawan.

Menurutnya, walaupun sedar tugas berhadapan dengan Sabah kali ini bukan mudah kerana pasukan itu yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee sudah menunjukkan peningkatan prestasi dalam persembahan berbanding pada awal musim.

"Memang kemampuan Sabah yang kini berada di tangga ketiga carta Liga Super membuktikan kehebatan mereka dan jelas ia tidak boleh dipandang rendah, sebaliknya kami perlu berwaspada dan kekal fokus sepanjang tempoh 90 minit permainan.

"Apapun kami perlu gunakan peluang untuk dapatkan kemenangan agar kedudukan pasukan dalam carta liga ketika ini terus kekal baik," katanya.

Namathevan bagaimanapun yakin dan percaya dengan kehadiran dua pemain import baharu iaitu Gustavo Almeida dan Yashir Pinto, akan dapat membantu pasukan merealisasikan sasaran kemenangan.

Katanya, adalah jelas kehadiran kedua-dua pemain terbabit sudah memberikan impak positif kepada bahagian serangan pasukan.

"Malah, kedua-dua pemain berkenaan sudah membuktikan kehebatan dan pengalaman masing-masing apabila berjaya membantu pasukan mencapai kemenangan ke atas Sri Pahang, tempo hari.

"Saya percaya mereka mampu mengulangi aksi cemerlang itu pada pertembungan dengan Sabah nanti," katanya yang berjanji akan memberikan persembahan terbaik jika diturunkan pada perlawanan Ahad nanti.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 8:06pm
d