Bola Sepak

Kecewakan Gergasi Merah, Terengganu ke final

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Terengganu FC (TFC) mara ke pentas final Piala FA selepas melakar kemenangan dramatik menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedudukan sepenuh masa terikat 1-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Penyu bakal membuat perhitungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final sekali gus mampu mengulangi sejarah menjulang trofi itu pada 2011.

Penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim muncul wira pasukannya selepas berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti lawan.

Terdahulu aksi pada 15 minit pertama jelas dikuasai pemain The Red Giants dengan percubaan pertama menerusi pemain berpengalaman, Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ketujuh yang mudah ditangkap kemas Rahadiazli.

Skuad Penyu yang dilihat lambat panas, mendapat peluang terbaik untuk memimpin perlawanan pada minit ke-17, namun tandukan kapten, Kipre Tchetche yang mendapat umpanan Mohd Faisal Halim sedikit melepasi palang gol.

Lima minit berselang, TFC sekali lagi mendapat peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol menerusi tendangan Mohd Faiz Nasir yang hampir tertampan pertahanan pelawat, Yazan Mousa Al-Arab.

Hasil serangan pantas, skuad kendalian Michael Feichtenbeiner berjaya 'mendiamkan' lebih 33,000 peminat setia TFC apabila memperoleh gol pendahuluan pada minit ke-23 menerusi penyerang, Mohd Nor Hakim.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran silang pemain pertahanan, Quentin Cheng sebelum pemain kelahiran Kuala Terengganu itu bijak memperdaya penjaga gol menerusi tolakan mengelirukan untuk pasukannya mendahului 1-0.

Pada minit ke-34, pengadil, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah selepas Mohd Faisal dijatuhkan pertahanan, Shahrul Nazeem Zulpakar, bagaimanapun pengadil mengubah keputusan selepas berbincang dengan pembantu pengadil.

Pemain import kacukan Jerman-Filipina, Manuel Ott juga mendapat peluang terbaik dalam kotak penalti pada minit ke-38, namun gagal disudahkan dengan jaringan, begitu juga rembatan padu Tchetche empat minit berselang sekadar menggegarkan palang gol.

Bersambung babak kedua, berbekalkan sokongan padu peminat setia, anak buah Nafuzi Zain mengubah corak permainan dengan kerap menekan kubu pelawat untuk memburu jaringan penyamaan.

Hasilnya pada minit ke-48, Mohd Faisal yang mendapat umpanan daripada Mohd Faiz bijak melepasi tiga pemain lawan sebelum melakukan rembatan ke penjuru kanan gol pelawat untuk mengikat kedudukan 1-1.

Selepas jaringan itu, pemain TFC kian bersemangat untuk memburu gol, bagaimanapun peluang dimiliki pemain pertahanan, Pape Diakite dalam kotak penalti pada minit ke-60 berjaya ditepis penjaga gol, Samuel Somerville.

Begitu juga dua peluang keemasan diperoleh tuan rumah menerusi Mohd Faisal pada minit ke-81dan pemain gantian, Muhammad Syafik Ismail enam milik berselang, gagal menerjah jaring walaupun pintu gol sudah terbuka sekali gus memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Sepanjang 30 minit masa tambahan, tiada jaringan terhasil walaupun kedua-dua pasukan mendapat banyak peluang terhidang untuk menjaringkan gol memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti yang memihak kepada TFC dengan kemenangan 4-2.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 12:00am
d