Bola Sepak

Cools bawa imej negara ke Liga Europa

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bendera Malaysia bakal berkibar dalam saingan Liga Europa apabila tonggak pertahanan skuad Harimau Malaya, Dion Cools akan beraksi dalam saingan kdua tertinggi Eropah itu.

Ia selepas kelabnya, FC Midtjylland dari Denmark diundi dalam Kumpulan F untuk berdepan tiga lagi kelab iaitu Lazio (dari Itali), Feyenoord (dari Belanda) dan Sturm Graz (dari Austria).

Cools, 26, yang sudah menamatkan tempoh pinjamannya bersama kelab Belgium, SV Zulte Waregem dipanggil semula Midtjylland bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan itu.

Pengalamannya yang cukup luas terutama di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sebelum ini amat ditagih apabila pemain kacukan Malaysia-Belgium itu pernah beraksi di pentas itu ketika bersama Club Brugge.

Malah, dia sudah menjalani latihan bersama Midtjylland bagi mempersiapkan diri untuk beraksi dalam tempoh terdekat.

Tahap keyakinan Cools pada tahap terbaik terutama selepas membantu skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 42 tahun untuk Malaysia mara ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas 1980.

Dalam kempen kelayakan Piala Asia Jun lalu, Cools adalah watak penting sepanjang saingan kelayakan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

Malah, dia dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan menentang Bangladesh, selain menyumbang satu gol untuk membantu mencatat kemenangan 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia Kumpulan E itu.

Disiarkan pada: August 29, 2022 @ 6:24pm
d