Bola Sepak

Safee tekad cipta sejarah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penyerang berpengalaman Kuala Lumpur City FC (KL City), Safee Sali dalam laluan melakar sejarah sebagai pemain pertama Malaysia yang menjulang Piala AFC sebanyak dua kali sekiranya skuad kendalian Bojan Hodak mampu menjinakkan Al Seeb di final, Sabtu ini.

Safee, 38, pernah memenangi Piala AFC pada 2015 lalu ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menyaksikan kelab itu muncul juara selepas menumbangkan kelab Tajikistan, FC Istiklol di final dengan kemenangan 1-0.

Kejayaan itu pastinya mahu diulangi Safee yang kini bersama KL City.

Jelas bekas penyerang berbisa skuad Harimau Malaya itu, aksi final ini dianggapnya cukup istimewa kerana bukan mudah untuk mana-mana pasukan mara sehingga ke pentas akhir, dan dia antara pemain tempatan yang bertuah.

"Sangat-sangat istimewalah bagi saya kerana bukan senang untuk menjejakkan kaki ke final Piala AFC untuk kali kedua, saya amat bersyukur dan KL City pun bermain sangat baik sepanjang saingan Piala AFC ini.

"Sedikit sebanyak saya hanya membantu dari segi sokongan moral untuk pemain-pemain semasa latihan dan perlawanan. Jadi ini karier saya yang terbaiklah, apabila dapat berada dalam Piala AFC dua kali.

"Alhamdulillah kerana ini bukan peluang yang saya aturkan, ini semua suratan takdir dan rezeki dan saya rasa amat bertuah berada dalam pasukan ini dalam perlawanan akhir Piala AFC

."Jadi saya hanya ingin menikmati suasana final Piala AFC, peringkat tertinggi di Asia yang penting sekali syukur Alhamdulillah," katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Ditanya adakah dia berkongsi tips bersama pemain lain menjelang aksi kemuncak di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti, Safee mahu rakan sepasukan menikmati suasana final dengan tenang.

"Kalau dah peringkat final ini tidak banyak ditekankan untuk para pemain, mereka hanya perlu menikmati dan 'enjoy' suasana final supaya mereka tidak tertekan dengan perlawanan.

"Yang penting sekali kita dah berada di final…kita mempersiapkan diri dengan baik, tidur dan makan dengan cukup, bersedia untuk perlawanan Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2022 @ 4:25pm
d