Bola Sepak

TMJ umum Solari jurulatih baharu JDT

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengorak langkah awal menjelang saingan Liga Malaysia musim depan apabila mengumumkan kehadiran jurulatih baharu, Estaban Solari yang akan menggantikan Hector Bidoglio.

Pengumuman itu dilakukan pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman rasmi Johor Southern Tigers (JST) sebentar tadi yang disiarkan secara langsung.

Katanya, Bidoglio pula akan dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Teknikal JDT, manakala Alistair Edwards pula diberi peranan lebih besar selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.

"Saya secara peribadi dah lama mengikutinya secara dekat kerana saya sudah mengenalinya selama beberapa tahun dan kami dah lama komunikasi untuk beberapa tahun.

"Beliau sekarang berada dalam pasukan B-23 tahun Argentina bersama Javier Mascherano…dan juga sudah ditawarkan ke River Plate, ditawarkan juga ke pasukan pembangunan Barcelona.

"Tetapi saya dapat yakinkan beliau untuk bersama sama dengan saya, untuk teruskan pembentukan dan projek bola sepak JDT.

"Iaitu Estaban Solari, adik kepada Santiago Solari yang kini berada di Real Madrid. Jadi beliau akan ambil selaku ketua jurulatih kelab bola sepak JDT, dengan skuad utama. Itu adalah perubahan yang kami akan lakukan pada 2023," katanya.

Perubahan sistem kejurulatihan skuad Harimau Selatan ini bakal memberi nafas baharu buat JDT dan mereka dijangka akan terus mendominasi Liga M pada musim depan.

Untuk rekod, pada musim ini JDT menyapu bersih semua trofi liga domestik iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super yang dipertahankan buat tahun kesembilan berturut-turut.

Disiarkan pada: November 30, 2022 @ 10:56pm
d