Bola Sepak

Brazil mahu joget depan Croatia

Oleh AFP

Doha: Brazil semakin yakin menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang Croatia esok selepas Neymar kembali dengan prestasi cemerlang ketika beraksi pada saingan 16 terakhir.

Kemenangan besar 4-1 ke atas Korea Selatan menerusi jaringan Vinicius Junior, Richarlison dan Lucas Paqueta serta penalti Neymar memberikan mesej kepada pencabar mereka di Qatar.

Brazil menguasai sepenuhnya 45 minit pertama dan pemain menari ketika menjaringkan gol. Malah mengajak bersama jurulatih Tite, 61, menyertai mereka.

Aksi menarik Selecao di Stadium 974 itu menarik perhatian sehingga ada yang membandingkan mereka dengan skuad hebat Brazil diketuai Pele bermula 1970 sehingga 1982 ketika diterajui Socrates.

Namun sejak menjuarai gelaran kelima pada 2002, Brazil gagal menewaskan pasukan Eropah di kejohanan itu termasuk dimalukan Jerman 1-7 di tempat sendiri pada 2014 dan disingkir oleh Belgium empat tahun lalu di Rusia.

"Kami mahu menjuarainya, jelas sekali tapi kami perlu laluinya berperingkat," kata Neymar merujuk kemenangan ke atas Korea Selatan.

"Ini aksi keempat. Ada tiga lagi tapi kami perlu bersedia. Fikiran kami perlu fokus meraih gelaran."

Neymar kembali dalam senarai kesebelasan di peringkat 16 terakhir selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menewaskan Serbia 2-0 manakala kehadiran semula Danilo di pertahanan kiri turut memberikan impak.

Tite kehilangan seorang lagi pertahanan, Alex Telles untuk baki kejohanan tetapi Alex Sandro kembali berlatih dan berpeluang beraksi.

Croatia pula mara ke final empat tahun lalu dan memerlukan penalti penentuan untuk menewaskan Jepun di peringkat 16 terakhir Isnin lalu.

Skuad Zlatko Dalic tekad mengulangi prestasi di Rusia dan mereka masih diketuai Luka Modric yang berusia 37 tahun.

"Saya fikir semua orang di dunia tahu nilai Luka Modric. Dia ketua kami, pemain terbaik dan kami bangga memilikinya di atas pasang," kata Mateo Kovacic.

"Kami biasa dengan aksi fizikal di Liga Perdana Inggeris dan ini yang akan kami tunjukkan kepada Brazil," kata pemain Chelsea itu lagi.

"Kami mahu tunjukkan kualiti teknikal kami dan juga tunjukkan kualiti fizikal ketika perebutan dan penguasaan bola."

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 7:46am
d