Bola Sepak

TFC tak profesional - Faisal Halim

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: "…tapi bila saya dah keluar tengok-tengok gaji kena potong 15 peratus", itu antara luahan tidak puas hati tonggak sayap negara, Faisal Halim terhadap bekas majikannya Terengganu FC yang disifatkan tidak profesional apabila memotong gajinya tanpa mengikut saluran betul.

Jelas Faisal, dia mengakui dirinya ada melakukan kekhilafan apabila membuat kenyataan media berhubung kemelut dengan bekas pasukannya itu ketika masih bersama kelab berkenaan beberapa bulan lalu.

Namun kata Faisal yang juga dikenali dengan panggilan Mickey, tindakan memotong gaji bulan November sebanyak 15 peratus dilakukan tanpa sebarang notis amaran atau peringatan yang jelas tidak mengikut prosedur sebenar.

Justeru, pemain baharu Selangor FC pada musim depan itu tidak teragak untuk mengheret isu terbabit ke pengetahuan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau ke muka pengadilan.

"Betul saya mengaku salah, tapi buatlah cara betul, bagi surat pada saya, bagi surat potong gaji barulah saya boleh terima sebab itu memang salah saya dan saya mengaku kesalahan saya, tapi bila saya dah keluar Terengganu baru buat (potong gajinya).

"Sebenarnya saya tiada masalah dengan Terengganu, benda ni dah habis dan Alhamdulillah sekarang saya sudah masuk Selangor FC dan saya hormati Terengganu, tapi bila sampai tahap macam ini saya tidak boleh tahan, saya tak boleh sabar.

"Saya tak kisah kalau mereka nak potong gaji, potong lepas saya buat kenyataan, dua tiga hari bagi surat amaran dan potong bulan Oktober, tapi bila saya dah keluar, tengok-tengok gaji kena potong 15 peratus," katanya.

Beliau pada masa sama turut mempertikaikan tindakan pengurusan yang tidak mengenakan tindakan sama kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain sedangkan pengendali itu turut membuat kesalahan sama.

Dalam pada itu, Faisal berkata beliau kini sedang menunggu surat tunjuk sebab daripada pihak pengurusan terlebih dahulu sebelum ambil tindakan selanjutnya.

"Saya tunggu surat tunjuk sebab dan slip gaji daripada pihak pengurusan, selepas itu baru saja akan pergi ke PFAM dan niat saya memang nak ambil peguam. Saya tidak akan berdiam," katanya yang turut mengakui dalam kontraknya tidak ada klausa yang menghalangnya membuat kenyataan media.

Disiarkan pada: December 25, 2022 @ 11:51am
d