Bola Sepak

Ryuji Sato buat Malaysia 'panas' lagi

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bagaikan berdendam dengan skuad Harimau Malaya apabila pengadil dari Jepun, Ryuji Sato buat hal lagi dengan membuat beberapa keputusan tak masuk akal hingga menyebabkan Malaysia tewas 0-3 pada perlawanan ketiga kumpulan A Piala AFF di Stadium National My Dinh, Hanoi, Vietnam, sebentar tadi.

Apa tidaknya, pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti penuh kontroversi yang menyebabkan skuad kendalian Kim Pan-gon ketinggalan 0-2 pada minit 64.

Hal ini kerana kemungkinan Azam Azmi Murad menendang muka pemain Vietnam apabila berada di luar luar padang menyebabkan Sato melayangkan kad merah kepada pertahanan negara dan menghadiahkan sepakan penalti untuk tuan rumah.

Senario itu tidak ubah senario yang berlaku pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) Jun tahun lalu apabila pengadil berkenaan menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit sebelum wisel penamat ditiup.

Keputusan itu sekali gus meranapkan harapan skuad Harimau Malaya untuk melangkah ke pusingan seterusnya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 apabila mengakhiri saingan di kedudukan keempat kumpulan G.

Sudah pastinya, Sato tidak terlepas begitu saja apabila ' bawang rangers' Malaysia membuat kerja mereka dengan menyerang pengadil berkenaan yang dilihat berat sebelah dan kerap membuat keputusan luar biasa.

Malah, profil pengadil terbabit di Wikipedia turut diubah beberapa kali dipercayai dilakukan oleh penyokong Harimau Malaya kerana berang menjadi punca kepada kekalahan skuad kebangsaan.

Selain itu, komen di Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dipenuhi dengan kritikan terhadap Sato yang menjadi punca Malaysia terpaksa melalui laluan berliku untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya pada saingan Piala AFF 2022.

Pada perlawanan terbabit Malaysia tewas 0-3 kepada Vietnam menerusi jaringan yang disumbangkan Nguyen Tien Linh (29'),Que Ngoc Hai (penalti pada minit 64) dan Nguyen Hoang Duc pada minit 83.

Disiarkan pada: December 27, 2022 @ 11:06pm
d