Kuala Lumpur: Walaupun tidak dapat berjuang bersama rakan sepasukan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi, pemain sensasi negara Safawi Rasid tetap mendoakan kejayaan pasukan dari jauh.
Safawi, 26, yang tidak disenaraikan dalam kem latihan kali ini, masih tetap berkesempatan menonton perlawanan antarabangsa babitkan skuad Harimau Malaya dan Turkmenistan di depan kaca televisyen di rumahnya.
Menerusi perkongsian gambar di laman Story Instagramnya, Safawi turut mendoakan kejayaan pasukan.
"Selamat maju jaya", tulis pemain sayap yang kini dipinjamkan Johor Darul Ta'zim (JDT) selama semusim kepada kelab Ratchaburi FC di Liga Thailand itu sejak Januari lalu.
Begitupun tidak dipastikan, adakah Safawi masih berada di Bangkok ataupun sudah pulang bercuti di sini.
Ia kerana jam dinding yang terdapat pada gambar itu menunjukkan pukul 10 malam di mana sepak mula aksi terbabit bermula, ketika perbezaan waktu di Thailand sebenarnya lewat sejam di belakang Malaysia.
Dalam aksi itu, anak buah Kim Pan-gon melakar kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Akhyar Rashid di minit ke-29, sekali gus melebarkan rekod dua kemenangan berturut-turut ke atas Turkmenistan selepas menewaskan lawan sama 3-1 di Kelayakan Piala Asia tahun lalu.
Ketiadaan nama Safawi memang agak mengejutkan ketika prestasi pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu cukup baik di Ratchaburi FC.
Malah, baru-baru ini dia yang pernah dipinjamkan ke Portimonense SC di Portugal pada 2020 lalu berjaya membuka akaun jaringannya di Liga Thailand selepas Ratchaburi menewaskan Chonburi dengan 2-1.
Lebih manis, ledakan Safawi pada masa kecederaan babak pertama itu menjadi gol kemenangan Ratchaburi untuk menghuni tangga kelima dengan mengumpul 38 mata selepas 24 perlawanan.