Bola Sepak

Akhyar miliki bakat, kualiti tinggi

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Mohd Azraai Khor Abdullah meletakkan tonggak sayap negara, Akhyar Rashid antara pemain yang memiliki bakat dan kualiti tinggi sebagai seorang pemain bola sepak.

Jelas jurulatih berpengalaman itu, pujian itu hadir ketika Akhyar hanya mempunyai minit permainan yang cukup sedikit dengan mencatatkan 52 minit aksi dalam Liga Malaysia bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) setakat ini lima aksi musim ini.

Walaupun begitu, pemain berusia 23 tahun itu masih tetap mampu menampilkan aksi terbaik termasuk meledak gol kemenangan ketika menumbangkan Turkmenistan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) semalam..

Katanya, ia menunjukkan betapa Akhyar mempunyai kualiti tersendiri di atas padang biarpun dia jarang mendapat tempat di kelabnya.

"Itu menunjukkan Kim Pan-gon (jurulatih Harimau Malaya) tahu kemampuan setiap pemainnya termasuk Akhyar, walaupun Akhyar jarang main di liga.

"Apa yang diperagakan Akhyar bagi saya cukup biasa kerana tanpa minit permainan yang banyak dia tetap dapat beri aksi terbaik, dan itu menunjukkan keistimewaan ada padanya yang turut disedari Pan-gon.

"Bukan mudah main dalam perlawanan antarabangsa sedangkan tak ada minit permainan, tapi Akhyar buktikan sebaliknya," katanya antara individu terawal mengesan bakat Akhyar di akademi Kenari Kids sekitar 2005 di mana pemain JDT itu berusia enam tahun ketika itu.

Dalam aksi di SSI itu, adik kepada bekas pemain negara Rafdi Rashid itu meledak gol pada minit 29 selepas dia berjaya mengatasi pertahanan Turkmenistan sebelum tenang membuat satu sepakan leret yang menewaskan penjaga gol lawan, Charyyev Rasul.

Di babak kedua, pemain lincah itu terus mencuri tumpuan apabila dia melompat tinggi melakukan sepakan gunting yang cukup deras sebelum ia sempat ditepis Charyyev untuk menghampakan Akhyar.

Ujar Azraai lagi, masa depan Akhyar sebenarnya cukup cerah namun beliau menasihatkan agar dia bijak mengawal diri.

"Bagi saya secara peribadi, Akhyar memang pemain ada bakat semulajadi yang bagus. Tapi itulah, kadang kala dia perlu bijak mengawal dirinya dengan tidak melakukan perkara-perkara di luar yang tidak menguntungkan.

"Terima kasih kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), yang memberi peluang untuk menyerlahkan potensi dan bakatnya, selain sentiasa memberi peluang untuk Akhyar kekal berada di JDT.

"Jika dia dapat memperbaiki perkara itu, saya yakin Akhyar akan jadi lebih baik dan muncul pemain yang merbahaya," katanya.

Selain itu, Azraai turut memuji Pan-gon yang berani memberi peluang kepada muka baharu menunjukkan kemampuan menentang Turkmenistan.

"Dah lama kita tak lihat ada jurulatih yang berani mempertaruhkan pemain baharu dalam perlawanan antarabangsa seperti itu.

"Selalu jurulatih hanya bergantung harap pada kelompok tertentu pemain saja, tapi tidak bagi Pan-gon. Malah pemain yang diberikan peluang itu pula jarang diperhatikan sebelum ini, dan ini menunjukkan Pan-gon betul-betul buat kerja dengan memantau prestasi setiap pemain dalam liga".

Perlawanan itu turut menyaksikan lima pemain negara melakukan debut iaitu, Endrick Santos, Paulo Josue, Fayadh Zulkifli Amin dan Nooa Laine serta Feroz Baharudin.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 5:22pm
d