Bola Sepak

Safuwan lega kebangkitan NS

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Perancang bahagian tengah pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohamad Safuwan Baharuddin, akui lega dengan kebangkitan yang dipamerkan pasukan baharunya itu selepas meraih kemenangan pertama ke atas Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super, baru-baru ini.

Menurut pemain berusia 32 tahun itu, kemenangan terbabit bukan semudah itu untuk dicapai tanpa kerjasama, semangat dan komitmen tinggi daripada semua pemain.

"Syukur Alhamdullilah, pasukan akhirnya dapat meraih kemenangan pertama selepas tiga aksi sebelum itu iaitu bertemu Sri Pahang FC, Penang FC dan Johor Darul Ta`zim (JDT) menemui jalan sukar.

"Saya rasa lega dengan kemenangan ke atas Terengganu itu, namun perjuangan dalam Liga Super musim ini masih jauh dan kami perlu terus bekerja keras meningkatkan prestasi dalam persembahan.

"Kami sedar andai terleka dan tidak berusaha gigih, matlamat membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan musim ini sukar dicapai selain akan ketinggalan dengan pasukan lain," katanya di sini, hari ini.

Safuwan yang tampil buat musim pertama bersama skuad Hobin Jang Hobin selaku pemain import kuota Asean, dilihat berjaya memainkan peranan di bahagian tengah yang efektif.

Biarpun perpindahan pemain berkenaan ke Negeri Sembilan sebelum ini dikatakan tertangguh disebabkan masalah kecergasan dan hanya tampil bersama pasukan itu menjelang beberapa hari saja lagi sebelum liga bermula, namun dia berjaya membuktikan reputasi besar yang dimilikinya.

Pemain berasal daripada Singapura itu berkata, tumpuannya hanya untuk membantu menjulang pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini selain mempertahankan reputasi yang mereka capai pada musim lalu dalam Liga Super.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 8:11pm
d