Bola Sepak

Shamie terkilan masih tak dapat bantu Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain Sri Pahang FC, Nur Shamie Iszuan Amin terkilan kerana tidak dapat bersama membantu skuad itu beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.

Pada masa sama, pemain berusia 28 tahun itu berkata, ia adalah musim pertamanya bersama skuad Tok Gajah ketika mengharapkan prestasi terbaik diterjemahkan untuk membantu Sri Pahang musim ini.

"Memang terkilan kerana kecederaan yang dialami ini ketika berbaki tiga hari sebelum saingan Liga Super bermula. Tetapi saya percaya kecederaan ini akan segera sembuh dan dapat kembali menjalani latihan bersama rakan sepasukan bulan depan.

"Saya juga tidak sabar bersama rakan sepasukan kerana tidak menjangkakan akan mengalami kecederaan yang memerlukan tempoh rehat panjang," kata pemain kelahiran Kuching, Sarawak itu.

Berdasarkan laporan, Nur Syamie mengalami kecederaan lutut kiri pada aksi persahabatan berdepan PDRM FC tiga hari sebelum saingan Liga Super bermula.

Kecederan itu menyebabkan Sri Pahang terpaksa melupakan khidmat pemain tengah itu buat seketika.

Musim lalu, Nur Syamie bermain bersama Sarawak United. Ketika ini, jentera tengah skuad kendalian Fandi Ahmad mempertaruhkan Nor Azam Azih, Baqiuddin Shamsuddin dan Kevin Ingreso.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 8:20pm
d