Bola Sepak

Malaysia mara ke final Piala Merlion

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pasukan Bawah 22 (B-22) tahun negara meneruskan rentak cemerlang skuad senior apabila mencipta kemenangan ke atas Kemboja dengan 4-2 dalam aksi Piala Merlion 2023 di Stadium Jalan Besar, di Singapura, petang tadi.

Kemenangan itu hadir tepat pada masanya ketika skuad senior kendalian Kim Pan-gon turut melakar kemenangan 1-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa ke atas Turkmenistan malam tadi.

Kejayaan skuad B-22 itu membolehkan anak buah E Elavarasan mara ke final Piala Merlion dengan lawan yang bakal ditemui sama ada Hong Kong atau pun Singapura yang akan bermain malam ini.

Dalam aksi itu, Malaysia mendahului dua gol menerusi Haqimi Azim di minit ke-13 sebelum V Ruventhiran menggandakan kelebihan di minit 30.

Begitupun kelalain pemain negara menyaksikan Kemboja bangkit dengan dua gol masing-masing melalui Lim Pisoth di minit 36 dan Sieng Chanthea di minit 50.

Skuad negara kembali memperkemaskan aksi dan hasilnya berjaya meraih dua gol menerusi Fergus Tierney di minit 62 dan Najmudin Akmal di minit 73.

Saingan di Singapura ini sebahagian daripada persiapan skuad B-22 ke Sukan Sea di Kemboja, pada Mei ini.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 9:50pm
d