Bola Sepak

Penyokong TRW puas hati penjelasan Zamsaham [METROTV]

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kemelut antara pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham bersama penyokong pasukan itu dilihat semakin positif selepas pertemuan kedua pihak, petang tadi.

Dalam pertemuan hampir dua jam itu, Zamsaham menjelaskan beberapa isu membabitkan masalah dalaman The Red Warriors (TRW) selain menjawab soalan penyokong yang hadir.

"Untuk masalah jersi, kita dah kenalpasti hanya 39 orang sahaja lagi belum menerima jersi atas masalah logo premium.

"Apapun saya berterima kasih kepada yang hadir, selama ini penyokong hanya dengar satu pihak," katanya ketika ditemui dalam majlis berjumpa penyokong di Zambuger Kelantan, Kota Bharu.

Zamsaham berkata, soal KWSP dan Perkeso pula, dia mengakui pengurusan mempunyai masalah kewangan dengan tunggakan lebih RM400,000 bagi pembayaran dua caruman itu.

Katanya, industri bola sepak Malaysia bukan menguntungkan begitu juga TRW belum membuat keuntungan selepas dia mengambil pasukan ini pada 2020.

Tambahnya, industri bola sepak bukan membuat keuntungan ambil hari ini dan terus untung esok, sebaliknya pelaburan jangka panjang dan sebagai pelabur, dia sanggup mengambil risiko itu.

"Lima tahun belum tentu buat untung, banyak awak kena korbankan masa, wang lepas jadi profesional mungkin baru untung.

"Kita berbelanja tak kurang sejuta sebulan dan pendapatan kita RM800,000, kita sebenarnya rugi, kita ada dua pilihan bayar gaji dulu, atau bayar EPF, tapi kita dah mula bayar sebab kalau tak bayar tak dapat sambung lesen, kita tak buat, sebab kelab tak untung," katanya.

Zamsaham turut menjelaskan tindakan beliau menahan gaji pemain kerana kecewa dengan kekalahan berturut-turut pasukan dan berniat menahan gaji untuk memberi tekanan supaya pemain lebih serius memberi persembahan dan kemenangan kepada pasukan.

"Apabila dah asyik kalah, saya dah tak tahu nak marah macamana, jadi saya tahan gaji dengan niat mengajar, sebaliknya berlaku apabila pemain main makin teruk, malah ada pemain sendiri yang kecewa dengan aksi rakan sepasukan yang tidak bermain dengan baik musim ini," kata usahawan dari Johor itu.

Zamsaham berkata, dia sedaya upaya membantu Kelantan kerana cinta kepada bola sepak bukan semata-mata kerana perniagaan dan memohon peminat terus hadir ke stadium kerana pendapatan kelab bergantung pada penjualan tiket.

Katanya, beberapa isu bersama pemain dan pengurusan sebelum ini juga seakan mahu menjatuhkan beliau yang sudah berbelanja besar RM68 juta termasuk membayar tunggakan gaji 176 pemain TRW di bawah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

"Kita bayar gaji pemain antara RM14,000, RM12,000, RM6,000, RM3,000 purata RM7,500, sekurang-kurangnya tunjuklah sesuatu, pemain profesional kena jaga makan, disiplin, lihatlah pemain yang musim lepas dan musim ini dia masih main dengan kita (TRW), sebab dia main dengan hati.

"Saya harap kita tak ada masalah sekatan perpindahan, kita akan perbaiki kualiti pemain, cari import yang bagus pada jendela perpindahan kedua Julai nanti dan Insha-Allah, kita beri persembahan lebih baik, saya harapkan doa semua," katanya yang turut menerima tepukan gemuruh sebaik tamat sesi soal jawab.

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 8:33pm
d