E-Sukan

MPKlang juara SUKANUNVE

Klang: Karnival Esports Persatuan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUNVE) yang diadakan pada 19 hingga 22 Ogos menyaksikan kontingen MPKlang dinobatkan juara keseluruhan edisi sulung SUKANUNVE 2021 apabila berjaya merangkul dua emas dan satu gangsa.

MPKlang berjaya menewaskan pencabar terdekat mereka iaitu agensi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berada di kedudukan kedua.

MPKlang berjaya mendapat kejuaraan bagi acara PUBG dan PESMobile manakala pencabar kedua, LHDNM berjaya menjadi juara dalam acara Valorant dan CODM.

Kejohanan membabitkan tujuh acara menyaksikan penguasaan kontingen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi acara MotoGP, kontingen Universiti Malaya (UM) memenangi acara Mobile Legend Bang Bang manakala kontingen Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuat kejutan untuk memenangi acara

FIFA2021.

Majlis ringkas penyerahan Piala Pusingan kejohanan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin di Dewan Hamzah, Klang.

Piala berkenaan diserahkan oleh Setiausaha Kejohanan, Zamri Abd Kahar.

Kejohanan ESports Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) berjaya menarik penyertaan dari 36 agensi membabitkan 802 orang atlet dan 113 orang pegawai.

Semua acara dilangsungkan secara atas talian dan disiarkan secara langsung menerusi YouTube UiTM Sports Channel dan Facebook Pusat Sukan UiTM.

Disiarkan pada: August 22, 2021 @ 8:40pm
d