E-Sukan

Jangan anak tiri MESF - Ananth

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) berharap kerajaan tidak 'anak tiri' persatuan terbabit dalam membincangkan secara teliti berkaitan pengagihan peruntukkan e-Sukan.

Presidennya, Datuk Ananth S Nathan berkata, pihak berkaitan perlu melihat MESF sebagai entiti dan pemegang taruh utama dalam mendapatkan maklumat terperinci berkenaan status quo e-Sukan di Malaysia.

Beliau berkata, perkara terbabit cukup penting bagi memastikan kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendapatkan gambaran tepat berhubung pembangunan e-Sukan tempatan sekali gus membolehkan perancangan dapat dirangka lebih teliti dan mencapai sasaran.

"Ternyata kerajaan sekali lagi tidak mengecewakan. Kami menyambut inisiatif kerajaan yang menyediakan RM20 juta bagi pertumbuhan e-sukan, RM5 juta bagi pusat kecemerlangan sukan dron dan pengecualian cukai pendapatan ke atas hadiah kejohanan e-sukan dengan gembira.

"Suntikan kewangan ini tentu sekali dapat membantu untuk membangunkan e-Sukan di peringkat masyarakat dan menambah baik fasiliti serta platform yang amat diperlukan. Sudah tiba masanya Malaysia bergerak lebih laju untuk melahirkan lebih ramai atlet e-Sukan yang bertaraf dunia.

"Namun begitu, MESF ingin melahirkan rasa kesal kerana MESF masih tidak dilibatkan oleh pihak Kerajaan bagi membincangkan secara teliti berkenaan pengagihan peruntukkan e-Sukan di dalam pengumuman belanjawan tahun-tahun terdahulu.

"Atas sebab itulah, MESF ingin Kerajaan mengkaji semula rasional mengembalikan peranan pembangunan e-Sukan ini kepada MESF dan menyokong kami sebagai sebuah badan sukan tertinggi untuk mengawal selia segala urus tadbir berkenaan e-Sukan di negara ini," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada MSN untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memperkasakan lagi Sukan OKU.

Turut diumumkan peruntukan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara dengan antaranya memulakan pembinaan sebuah stadium dengan pelbagai fasiliti di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan e-sukan yang dilihat mempunyai prospek terbaik bagi pembangunan sukan negara.

Disiarkan pada: October 30, 2021 @ 1:36pm
d