E-Sukan

Skuad eRimau mampu raih pingat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengurus skuad eRimau negara, Syed Yazid Syed Omar optimis pasukan mampu membawa pulang pingat apabila beraksi pada Sukan Sea di Hanoi, Vietnam nanti.

Katanya, impian untuk melihat pasukan eRimau menaiki podium bukan mustahil dan berdasarkan kepada persiapan sejak bulan lalu misi itu mampu direalisasikan.

"Sebagai pengurus pasukan bagi skuad eRimau FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya amat yakin skuad eRimau akan membawa pulang pingat, sekurang kurangnya gangsa di dalam temasya Sukan Sea ini.

"Harapan saya kepada peminat sukan bola sepak terutamanya eSukan dapat memberi sokongan penuh kepada pasukan eRimau pada 13-15 Mei nanti," katanya.

Dalam saingan itu nanti, skuad negara akan menyertai acara Fifa Online 4 (FO4), di mana Malaysia diletakkan dalam Kumpulan A bersama Vietnam dan Filipina.

Pasukan di bawah kendalian Ahmad Akmal Abdul Rafil itu diperkuatkan empat pemain iaitu Muhammad Luqman Haziq Hajiman, Muhammad Asyraf Kamal, Gan Mun Kiat dan Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan.

FAM adalah organisasi yang diamanahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar wakil negara ke temasya Sukan Sea 2021 bagi kategori eSukan FO4.

"Sesi kem latihan dilakukan pada 25 hingga 29 April lalu berjalan dengan lancar dan menghasilkan beberapa keputusan yang baik. Kombinasi kesemua pemain amatlah memberangsangkan. Kami juga ada membuat sesi perlawanan persahabatan tertutup, keputusan perlawanan memihak kepada kita FAM eRimau," katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2022 @ 5:34pm
d