E-Sukan

'Harap bajet e-sukan dapat digunakan sebaik-baiknya'

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persekutuan Esukan Malaysia (MESF), Mohamad Nazri Abdul Latiff mengakui tidak terkejut dengan peruntukan RM13 juta daripada kerajaan menerusi pembentangan Bajet 2023 kepada industri e-sukan negara.

Ini kerana, Mohamad Nazri berkata, sejak dari 2019 lagi wang itu tidak 'kelihatan' walaupun bajet khas untuk pembangunan e-sukan di Malaysia sudah diumumkan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tetap menyambut baik segala usaha dan inisiatif diketengahkan kerajaan dalam memastikan cabang sukan terbabit mampu menjelmakan hasil positif kepada negara.

"Kami ada rasa kekecewaan kerana wang ini tidak dibelanjakan atau apa sekalipun sebab kami tak pasti. Kerana kami di pihak persatuan tidak menerima wang sebanyak ini seperti diumumkan.

"Di peringkat kami, ia masih menjadi kerisauan dan kekesalan kerana pengumuman itu baik untuk industri akan tetapi, ke mana wang itu dibelanjakan. Adakah ia sekadar atas kertas?

"Bila umum bajet khas tapi wang tak dibelanjakan pun akan menjadi persoalan kepada rakyat sebab industri e-sukan. Kalau lihat hari ini berapa ramai pembangun permainan (game developer) yang sudah ada di Malaysia menggunakan bajet sepatutnya.

"Kalau dari 2019 kita dapat gunakan bajet yang diumumkan ini pasti banyak pembangun permainan di Malaysia," katanya.

Mohamad Nazri berharap agar pihaknya dibabitkan sekali dalam soal pengurusan bajet yang diperuntukkan kerajaan selain beberapa projek pembangunan e-sukan sudah direncanakan sekiranya nilai RM13 juta itu benar-benar diterima.

"Kami mohon agar wang ini dirunding bersama persatuan untuk dibelanjakan. Kami sebagai badan bertanggungjawab ke atas industri e-sukan ini.

"Jadi, kami mahu wang ini dibelanjakan pada tempatnya dan wajibkan pembabitan persatuan secara terus dalam apa-apa penggunaannya.

"Kami memang ada projek pembangunan antaranya, pembangunan wanita dalam e-sukan dan program pengulas e-sukan," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2022 @ 6:14pm
d