E-Sukan

Peruntukan untuk e-sukan memang wajar - Ahmad Faizal

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: Peruntukan besar diberikan pada setiap tahun sejak 2019 untuk pembangunan e-sukan di dalam negara bukanlah bermaksud industri sukan itu adalah 'anak emas' kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu sememangnya wajar untuk diberikan perhatian apabila melihatkan impak positif bakal dikecapi sekiranya ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Malah, beliau berpendapat hasil daripada pembangunan cabang sukan terbabit mampu diterjemahkan dalam bentuk pulangan yang baik kepada negara.

"Kita sebagai kerajaan perlu memikirkan bagaimana mahu memperkasakan industri sukan itu dengan suntikan dana yang berterusan kepada e-sukan.

"Saya fikir ia amat wajar kerana industri itu cukup besar. Pemain industri akan dapat menjana ekonomi mereka dan akhirnya akan dicukai kerajaan dan kita akan dapat semula wang yang dibelanjakan itu dalam bentuk lain," katanya.

Sejak dari 2019, bajet khas diperuntukkan bagi pembangunan e-sukan adalah sebanyak RM10 juta, RM20 juta (2020), RM15 juta (2021), RM20 juta (2022) dan terbaharu untuk 2023 sebanyak RM13 juta.

Pada masa sama, Ahmad Faizal turut memaklumkan peruntukan RM332 juta menerusi pembentangan Bajet 2023 untuk industri sukan negara adalah mencukupi, sekali gus tidak akan berdepan masalah terutama membabitkan program pembangunan atlet.

Ia memberikan kelegaan buat keseluruhan kontinjen Malaysia yang dalam persediaan menghadapi Sukan Sea Kemboja (5 hingga 17 Mei 2023) disusuli Sukan Asia Hangzhou (23 September hingga 8 Oktober 2023) dan beberapa siri kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Disiarkan pada: October 9, 2022 @ 6:22pm
d