E-Sukan

Gugup punca Team Haq tewas

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Perasaan gugup disifatkan punca kekalahan Team Haq pada aksi pertama Kumpulan D Kejuaraan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4.

Jurulatihnya, Khairul Azman Mohd Sharif berkata, ia kerana kejohanan tersebut yang pertama buat pasukannya di pentas antarabangsa selepas memenangi Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim ke-10.

Bagaimanapun, jurulatih lebih dikenali dengan nama samaran Pabz berkata, dia tidak mahu perkara itu menjadi alasan pasukannya tidak mampu beraksi dengan baik sambil berharap, pemainnya akan bangkit lebih baik pada dua perlawanan seterusnya bagi mencerahkan lagi peluang mara ke peringkat seterusnya.

"Siapa siapa pun akan gugup perlawanan pertama. Tapi perkara ini bukan alasan untuk kita kalah di game pertama. Kalau dah ditakdirkan kita kalah perlawanan pertama dan menang aksi seterusnya kita kena reda. "Kami akan usaha dengan lebih baik pada baki dua perlawanan nanti. Harapan saya semoga pemain boleh all out dan berikan yang terbaik untuk negara," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Dalam pada itu ketika mengulas berkenaan keseluruhan permainan Team Haq pada perlawanan pertama, Pabz mengakui segala perancangan sudah dilakukan dengan rapi namun kesalahan pasukannya memilih 'spell' pada aksi tersebut memakan diri.

"Segala perancangan dari awal hingga lewat permainan tu kita ada, cuma kita tak boleh buat dengan baik atas sebab tersalah bawa spell. Jadi ia memberi impak besar kepada 'gameplay' yang kita nak bawa,"ujarnya.

Sebelum ini Team Haq terpaksa akur tumpas 1-0 kepada wakil Brazil RRQ Akira pada aksi pertama kumpulan D MLBB M4 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia.

Meskipun bermula baik pada awal perlawanan, namun Team Haq gagal meneruskan momentum permainan sekali gus menyaksikan mereka tumpas kepada RRQ Akira.

Untuk rekod, Team Haq kini berada di tangga tercorot kumpulan D dan akan bermain dua perlawanan menentang The Valley dan S11 Gaming Argentina pada Rabu.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 2:17pm
d