E-Sukan

Hannah seru sertai soal selidik e-sukan

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS), melalui inisiatif Esports Integrated (ESI) dan Institut Penyelidikan Belia Malaysia (IYRES) baru-baru ini melancarkan soal selidik dalam talian ke seluruh negara untuk mengumpul maklumat dan pandangan mengenai ekosistem esukan Malaysia.

Penyelidikan ini akan digunakan oleh KBS bagi membangunkan dasar dan strategi berkaitan esukan pada masa-masa yang akan datang, serta sindikasi luaran kepada semua pemegang taruh esukan tempatan dan antarabangsa yang terbabit.

Bermula dengan soal selidik dalam talian selama dua bulan dari akhir Disember 2022 hingga Februari 2023, soal selidik yang diadakan di seluruh negara ini menyasarkan untuk mengumpulkan maklumat penting mengenai demografi, psikografi peminat esukan di Malaysia dan kesan kewangan terhadap mereka.

Soalan-soalan adalah terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu, Pengetahuan Am, Persepsi dan Ekosistem sebelum ia disusuli dengan pembentukan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang terdiri daripada pakar esukan tempatan serta pihak berkepentingan.

Ia akan berlangsung pada Mac 2023 bagi tujuan perbincangan kumpulan fokus, untuk memahami ekosistem pada tahap yang lebih mendalam dan teknikal.

"Kajian menyeluruh tentang ekosistem esukan tempatan adalah penting untuk mendapatkan pemahaman yang mendalam dan maklumat kritikal yang sebelum ini tidak kita ketahui. Ini adalah untuk memastikan bahawa semua keputusan yang dibuat didorong oleh data.

"Memandangkan pemain Malaysia terus-menerus mengerahkan segala kemampuan dan mencapai kejayaan di peringkat serantau dan antarabangsa, adalah penting bagi kami untuk melihat secara ke dalam (inward) untuk mengukur potensi pertumbuhan pasaran Malaysia dan kesannya pada masa hadapan ke atas ekonomi, dan pembangunan belia dan sukan di Malaysia.

"Saya menggesa semua rakyat Malaysia yang aktif bermain atau pernah bermain mana-mana permainan e-sukan pada masa lalu untuk menyertai tinjauan dalam talian ini," kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Soal selidik dalam talian ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berminat dengan esukan atau pernah bermain mana-mana judul permainan esukan. Klik https://bit.ly/esportsmy untuk menyertai soal selidik ini.

Disiarkan pada: January 3, 2023 @ 9:51pm
d