E-Sukan

Todak enggan dabik dada

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pasukan e-sukan negara, Todak nyata berpuas hati dengan persembahan ditampilkan mereka di peringkat kumpulan Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (M4).

Ketua Bahagian Arena pertarungan atas talian multipemain (MOBA) Todak, Mohd Syazlan Mohd Rosdi berkata, bagaimanapun pasukannya enggan mendabik dada dengan pencapaian itu.

Sebaliknya, Mohd Syazlan atau lebih dikenali dengan nama Ashi memberitahu masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan dalam memastikan misi layak ke perlawanan akhir tercapai.

"Untuk peringkat kumpulan, semestinya tiada jawapan lain selain puas hati kerana pemain sudah memberikan keputusan yang baik termasuk juga dengan bantuan jurulatih dan penganalisis kami.

"Akan tetapi , penambahbaikan sentiasa menjadi keutamaan pasukan untuk menghadapi pusingan "playoff" nanti," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini pada peringkat kumpulan kejohanan M4, Todak mencipta sensasi apabila berjaya meraih mata penuh dengan rekod tanpa kalah sekaligus melayakkan diri ke peringkat upper bracket.

Mengulas berkenaan lawannya di peringkat Upper Bracket nanti, Ashi memberitahu pasukannya enggan memikirkan lawan yang akan ditemuinya nanti.

Jelasnya ketika ini, pasukannya lebih menumpukan pada strategi akan digunakan serta mengkaji cara terbaik bagi meningkat prestasi Todak untuk perlawanan seterusnya.

"Dari segi persiapan , semestinya kami masih mengkaji dan cuba untuk baik pulih strategi yang kami bawakan kerana setiap pasukan sudah pasti akan cuba memusnahkan "winstreak" Todak di M4 ini .

"Walau bagaimanapun , pasukan Todak akan cuba sedaya upaya untuk kekalkan kemenangan sehingga ke peringkat akhir kejohanan M4 ini,"ujarnya.

Pada perlawanan upper bracket pertama, Todak dijangka bakal membuat perhitungan dengan naib Juara Kumpulan C sama ada RRQ ataupun RSG SG yang akan bertemu hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 16 pasukan antarabangsa akan bersaing merebut gelaran juara kejohanan M4 yang menawarkan hadiah terkumpul sebanyak AS$800,000 (RM3.5 juta).

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 2:36pm
d