E-Sukan

Todak bakal rombak senarai pemain MLBB

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pasukan e-sukan negara, Todak memberi bayangan akan berlaku rombakan pemain dalam skuad Mobile Legend Bang Bang (MLBB) selepas tewas di pusingan kedua lower bracket Kejohanan Dunia MLBB (M4), semalam.

Penganalisis MLBB Todak, Muhammad Hazim Firdaus Ismail berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan bersama pihak pengurusan demi kebaikan pasukan.

"Semestinya akan ada perubahan (pemain) dilakukan, tetapi kami akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak pengurusan untuk dapatkan solusi terbaik buat pasukan," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, perjuangan Todak di kejohanan M4 berakhir selepas ditewaskan pasukan dari Amerika Utara, The Valley 2-0 di pusingan kedua Lower Bracket.

Selain Todak, satu lagi wakil Malaysia, Team Haq turut menerima nasib sama apabila dikejutkan Incedian Supremacy iaitu pasukan dari Turki, 2-1.

Mengulas mengenai M4 kali ini, Hazim mengakui ia berbeza berbanding edisi lalu memandangkan banyak pasukan menyertai kejohanan kali ini berkembang dengan sangat pesat.

Justeru, katanya, pasukan Todak perlu berusaha dengan lebih baik dan bekerja keras pada kejohanan akan datang.

"Secara amnya , kita boleh nampak semua pasukan berkembang dengan sangat pesat dan hal ini menyedarkan kami untuk bersaing 10 kali ganda lebih keras dari saat ini.

"Pihak pengurusan ada memberitahu saya yang mereka akan bantu sehabis baik terutama dari segi penambahbaikan fasiliti pasukan untuk mencapai paras paling optimum," ujarnya.

Disiarkan pada: January 11, 2023 @ 5:22pm
d