Hoki

Malaysia tuan rumah Hoki Piala Remaja Dunia 2023

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Khabar gembira buat sukan hoki negara apabila Malaysia diberikan mandat sebagai tuan rumah untuk menganjurkan kejohanan Hoki Piala Remaja Dunia 2023.

Ia kali keempat Malaysia diberikan tanggungjawab menganjurkan kejohanan terbabit selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2009 bersama Singapura.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataannya kepada media memaklumkan negara berpengalaman menganjurkan kejohanan terbabit sebanyak tiga kali.

"MHC begitu gembira dan berterima kasih kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) yang berbesar hati memilih Malaysia untuk menganjurkan kejohanan berprestij itu.

"Secara tidak langsung membuktikan FIH percaya dan yakin terhadap keupayaan MHC menganjurkan pertandingan besar untuk peminat hoki dari seluruh dunia.

"Kali terakhir Malaysia menganjurkan kejohanan itu adalah lebih sedekad lalu iaitu pada 2009," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia pernah menganjurkan kejohanan yang menghimpunkan pemain remaja hoki terbaik seluruh dunia itu pada 1982, 1989 dan 2009 (bersama Singapura).

Malah, Malaysia turut mendapat kepercayaan badan induk hoki antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah kepada kejohanan Hoki Piala Dunia pada 1975 dan 2002.

Selain itu, Subahan berkata, bagi memastikan penganjuran kejohanan terbabit tidak berhadapan sebarang masalah Malaysia dan MHC akan bekerjasama dengan pihak berkaitan termasuk kerajaan untuk memastikan kemudahan infrastruktur dan perjalanan Hoki Piala Dunia Remaja 2023 berjalan lancar.

"Kami berharap situasi kembali pulih menjelang 2023 dengan penonton boleh memenuhi stadium bagi menyaksikan bintang muda hoki daripada seluruh dunia.

"Penganjuran kejohanan ini secara tidak langsung turut membantu perkembangan pemain muda negara yang bakal bertemu dengan beberapa individu hebat dalam sukan berkenaan," katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 9:09pm
d