Hoki

MHC anjur Liga Hoki Remaja hujung tahun ini

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Mahu memastikan arena hoki negara tidak terus ketandusan bakat 'ubi muda' mendorong Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meneruskan perancangan menganjurkan saingan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 hujung tahun ini.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menjelaskan, TNB MJHL 2021 akan diadakan pada bulan Disember dan butiran lanjut mengenai kejohanan itu akan diumumkan kelak.

Beliau berkata, penganjuran liga terbabit turut berpandukan kepada situasi terkini pandemik Covid-19 negara yang ketika ini masih dalam situasi membimbangkan.

"Kami akan melihat ini adalah permulaan kami mahu mengadakan satu liga yang mantap dan pemain terbaik seluruh negara boleh bersaing.

"Perkara ini cukup penting memilih dan mengasah bakat pemain muda untuk dipilih mewakili negara yang kuat dan berbakat.

"Ini adalah medan terbaik untuk mereka menonjolkan pemain muda terbaik masing-masing. Semua jurulatih negara menggunakan medan ini untuk memilih pemain diserap dalam pasukan kebangsaan," katanya.

Terdahulu, khabar gembira buat sukan hoki negara apabila Malaysia diberikan kepercayaan sebagai tuan rumah kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja yang akan berlangsung pada 2023.

Hal ini bermakna, Malaysia kali keempat diberikan tanggungjawab menganjurkan kejohanan terbabit selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2009 bersama Singapura.

Subahan dalam kenyataannya kepada media memaklumkan bahawa Malaysia sudah berpengalaman menganjurkan kejohanan terbabit sebanyak tiga kali.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 3:22pm
d