Hoki

Britain garang bedal India

Oleh Agensi

Tokyo: Pasukan hoki wanita Great Britain meneruskan misi mempertahankan gelaran Olimpik dengan bergaya selepas membelasah India 4-1 dalam aksi Kumpulan A, hari ini.

Hannah Martin meletakkan pasukannya di depan pada minit pertama dan melebarkan jaringan menerusi pukulan ke belakang pada suku kedua.

Sharmila Devi merapatkan kedudukan untuk India tetapi Lily Owsley meledak jaringan dari jarak dekat untuk Britain kembali di depan.

Menuju penamat perlawanan, Grace Balsdon menjaringkan penalti stroke yg tepat ke penjuru atas sebelah kiri gawang India.

Kemenangan itu membolehkan Britain melonjak ke tangga kedua dengan enam mata, tiga mata di belakang Belanda. Kedua-dua pasukan akan berentap esok.

Jerman akan memintas Britain jika mereka menewaskan Ireland hari ini.

Britain memulakan kempen di Tokyo dengan hambar apabila tewas 1-2 kepada Jerman, Ahad lalu tetapi pemenang pingat emas di Rio 2016 bangkit menewaskan Afrika Selatan 4-1.

Empat pasukan teratas daripada dua kumpulan mara ke saingan kalah mati.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 1:20pm
d