Hoki

Skuad projek khas ikat Scotland

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat kedudukan 1-1 menentang Pasukan Scotland B-23 di Clydesdale Hockey and Cricket Club dalam aksi Siri Jelajah United Kingdom 2021 awal pagi tadi.

Jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-59 itu mendapat pujian daripada ketua jurulatih Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan apabila barisan pemain menunjukkan kesungguhan mencari gol penyamaan.

Wallace berkata, semangat yang dipamerkan itu cukup membanggakan, pemain berusaha gigih dan tidak berputus asa mencari gol sehingga minit terakhir selepas pasukan lawan terlebih dulu membuka tirai jaringan pada minit ke-10 hasil kelebihan pukulan sudut penalti.

"Dalam perlawanan hari ini kami bermain dengan baik juga walaupun kami terlebih dulu ketinggalan 0-1.

"Sehingga minit terakhir, pemain masih terus berjuang dan mereka dapat menyamakan kedudukan 1-1.

"Ini satu pembelajaran yang cukup baik untuk pasukan kami," katanya.

Untuk rekod ia adalah perlawanan ketujuh secara keseluruhan buat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam siri jelajah ini.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan melengkapkan aksi terakhir iaitu perlawanan kelapan di Siri Jelajah United Kingdom pada 16 Oktober (Sabtu) jam 1.30 pagi waktu Malaysia bertemu Skuad B-23 Scotland sekali lagi di Clydesdale Hockey and Cricket Club.

Disiarkan pada: October 15, 2021 @ 12:56pm
d