Hoki

Kami berdepan pasukan berkualiti tinggi - Arul Selvaraj

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, A Arul Selvaraj menyifatkan Perancis adalah pasukan yang berkualiti tinggi yang dibarisi pemain terbaik.

Justeru keputusan seri 1-1 yang dicipta awal pagi tadi dianggap sebagai satu keputusan yang memberangsangkan apabila lawan menurunkan barisan pemain yang akan beraksi di Liga Belgium selain pemain yang akan beraksi di Perlawanan Pra Piala Dunia, minggu hadapan.

Muhammad Marhan Mohd Jalil muncul penyelamat buat skuad negara apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-56 menerusi gol padang di Wales Hockey Centre selepas Perancis menjaringkan gol minit ke-52.

"Tidak kira sama ada ia berstatus perlawanan persahabatan atau perlawanan ujian, standard kami adalah sama kerana ini adalah proses kami untuk terus membawa semangat mentaliti untuk menang dalam pasukan.

"Kami akan turun beraksi dalam setiap perlawanan dengan mental, emosi, dan fizikal yang bersedia untuk menang.

"Perlawanan hari ini kami berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol Marhan Jalil dan Marhan sebagai kapten pasukan sentiasa menunjukkan kualiti yang dimiliki beliau untuk menaikkan semangat pasukan untuk berusaha mendapatkan gol penyamaan.

"Selepas perlawanan sebenar berakhir, kami mengadakan latihan Shoot-Out dan kami memenangi latihan shoot-out itu jadi ia adalah satu petanda yang baik dari sudut mentaliti dan corak pemikiran untuk mendapatkan kemenangan," kata Arul.

Aksi ke-10 skuad negara dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 akan bersambung pada Isnin, 18 Oktober jam 8.00 malam waktu Malaysia di mana aksi itu akan menemukan Malaysian Tigers dengan Pasukan Perancis, sekali lagi.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 11:49am
d