Hoki

Skuad Projek Khas peraga aksi positif

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Hasrat Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan dalam Siri Jelajah United Kingdom 2021 untuk merangkul kemenangan pada perlawanan terakhir tidak kesampaian apabila tewas 0-1 kepada Pasukan Bawah-23 Scotland di Clydesdale Hockey and Cricket Club, awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Scotland B-23 terhasil pada minit ke-55 menerusi satu gerakan padang seterusnya menamatkan aksi Siri Jelajah United Kindgom 2021 buat skuad remaja negara.

Untuk rekod secara keseluruhan selepas tamat lapan perlawanan yang diatur, Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan berjaya mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan lima tewas dalam siri jelajah yang bermula pada 3 Oktober lalu.

Mengulas mengenai prestasi skuad negara, pengendali Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan berkata barisan pemain menunjukkan beberapa perkara yang positif di sebalik keputusan perlawanan.

"Mereka memberikan yang terbaik untuk perlawanan hari ini dan terdapat beberapa perkara yang positif daripada perlawanan hari ini.

"Saya boleh berasa gembira dengan perkembangan yang baik daripada pemain tetapi masih ada perkara yang perlu dipelajari mereka.

"Secara keseluruhan siri jelajah ini jika dibandingkan daripada perlawanan pertama hingga kelapan, ada peningkatan yang ditunjukkan dalam setiap perlawanan.

"Pasukan tidak dapat bermain perlawanan kompetitif dalam dua tahun. Jadi siri jelajah ini sesuatu yang cukup baik untuk pasukan.

"Banyak yang kami pelajari selain dapat bermain sebagai satu pasukan, membina semangat pasukan dan belajar untuk memperbaiki apa yang perlu," jelasnya.

Skuad Projek Khas Lelaki Kebangsaan akan pulang ke tanah air hari ini dan dijangka tiba di Malaysia esok.

Disiarkan pada: October 16, 2021 @ 1:15pm
d