Hoki

Arul sudah ada perancangan hadapi Piala Dunia

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj menegaskan beliau sudah mempunyai perancangan buat skuad negara dalam persiapan menghadapi Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Januari depan.

Pemain akan diberi cuti sebulan dan akan kembali menjalani latihan bulan depan dengan Arul berkata fokus awal yang akan diberi tumpuan adalah meningkatkan kembali tahap kecergasan pemain di bawah kendalian jurulatih kecergasan, Tom Drowley.

"Perancangan awal saya iaitu sekitar September dan Oktober, saya mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan India, Australia, Jepun dan Korea Selatan.

"Pada November pula, kita akan menyertai Piala Sultan Azlan Shah (15 hingga 25 November) manakala pada Disember nanti kita akan ada perlawanan enam penjuru di Sepanyol.

"Ia membabitkan beberapa pasukan handalan dunia seperti Jerman dan Belgium dan dua lagi pasukan Eropah yang masih belum dimaklumkan lagi," katanya.

Namun Arul menegaskan bahawa beliau tiada mahu 20 pemain dalam skuad negara ketika ini berada dalam keadaan selesa dan akan ada perubahan dalam senarai skuad utama hoki negara.

Ini bermakna tiada kepastian bahawa senarai 20 pemain yang berjaya membawa skuad negara muncul naib juara Piala Asia di Indonesia akan terus kekal berada dalam skuad yang akan mengibar cabaran di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India, Januari depan.

Tegas Arul, beliau mempunyai masa tujuh hingga lapan bulan lagi untuk mempersiapkan skuad dan ini adalah masa untuk semua pemain mempersiapkan diri dan membuktikan mereka layak berada dalam pasukan Piala Dunia negara. "Saya seorang yang berbeza.

Saya memilih pemain berdasar berdasarkan prestasi semasa mereka, kesefahaman dan sikap serta kepercayaan saya kepada mereka.

"Saya pilih bukan berdasarkan mereka boleh bermain hoki semata-mata tapi saya melihat secara keseluruhannya," katanya.

Justeru Arul berkata, peluang kepada semua pemain untuk menyarung jersi negara kini kembali terbuka kepada lapan pemain yang diketepikan daripada saingan Piala Asia di Jakarta untuk mewakili negara ke Bhubaneswar.

Disiarkan pada: June 3, 2022 @ 7:11pm
d