Hoki

Shello tak sabar gegar Piala Dunia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Selepas tamat tugasan di Piala Asia dan diberikan rehat selama sebulan, pemain hoki negara, Shello Silverius mengakui tidak sabar semula menyambung latihan bersama skuad kebangsaan yang dijangka bersambung semula minggu depan.

Menurut pemain kelahiran Sabah itu, mereka mempunyai misi lebih penting kali ini iaitu mempersiapkan diri untuk beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar, India.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pasukan terutama selepas layak ke Piala Dunia dan muncul naib juara Piala Asia. Bagaimanapun untuk diri sendiri saya perlu mempertingkatkan ketajaman dalam menyudahkan peluang menjaringkan gol.

"Banyak juga yang saya pelajari di Piala Asia tempoh lalu dan saya bertekad akan berusaha lebih keras lagi menjelang kejohanan lain pada masa akan datang," kata pemain berusia 23 tahun itu.

Ditanya mengenai tahap kecergasan pasukan terutama selepas mengharungi saingan sengit sehingga ke peringkat akhir Piala Asia yang berlangsung di Jakarta, Shello mengakui secara keseluruhan semuanya berada dalam keadaan baik.

"Bagi saya tahap kecergasan kita dalam keadaan baik dan teratur," katanya yang akan menyambung semula latihan bermula dari aspek kecergasan bersama jurulatih, Tom Drowley.

"Jurulatih kecergasan (Drowley) itu seorang individu yang bagus dan saya senang berkomunikasi dengannya sepanjang latihan," kata pemain yang beraksi di posisi penyerang itu.

Shello juga mengakui sebagai antara pemain muda dalam pasukan dia tidak kekok untuk bersaing secara sihat dengan tonggak senior dan perkara itu sentiasa diterapkan dalam latihan serta ketika menyertai kejohanan.

"Apa pun segala kesilapan atau perlu penambahbaikan kita akan bincang dan selesaikan secara bersama-sama. Bagi saya tiadak masalah dalam keserasian antara pemain junior dan senior. Pemain senior banyak membantu saya dalam setiap perlawanan," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2022 @ 5:21pm
d