Hoki

Medan pilih pemain NS ke Sukma

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) akan menjadikan Liga Hoki Remaja Kebangsaan 2022 (LHRK 2022) yang akan bermula 13 Julai ini sebagai medan memilih pemain untuk mewakili pasukan negeri menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma), September depan.

Setiausaha Kehormat PHNS, Tamil Selvan berkata tindakan itu dilakukan kerana liga berkenaan membabitkan pemain bawah 20 tahun dan disertai semua pasukan dari seluruh negara.

"Adalah sesuai untuk kita memilih pemain Sukma berpandukan prestasi mereka yang beraksi di pentas liga remaja kerana kejohanan itu berstatus tinggi dan mempertaruhkan ramai pemain muda.

"Biarpun setakat ini, kita sudah mempunyai pasukan untuk membawa cabaran di Sukma tahun ini, namun senarai pemain yang ada ketika ini belum dimuktamadkan. Mereka yang mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan liga kebangsaan itu nanti bakal diserapkan dalam skuad Sukma," katanya di sini, hari ini.

Temasya sukan terbesar negara itu bakal berlangsung dari 16 hingga 24 September depan di sekitar ibu negara dengan 31 jenis sukan dan 445 acara akan dipertandingkan.

Sementara itu, beliau berharap dua pasukan lelaki dan perempuan Negeri Sembilan yang bakal beraksi di pentas separuh akhir Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Kebangsaan 2022, malam esok mampu melepasi halangan masing-masing.

Tamil berkata, pasukan lelaki menentang Pahang manakala skuad perempuan berdepan Melaka dengan kedua-duanya beraksi di Stadium Hoki Bukit Jalil.

"Kita berharap kedua-dua pasukan remaja negeri ini mampu melepasi halangan dan layak di pentas final. Kali terakhir pasukan hoki muda Negeri Sembilan menjulang kejuaraan kebangsaan adalah pada 2018 yang membabitkan skuad bawah 14 tahun," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2022 @ 3:22pm
d