Hoki

Tugas skuad hoki negara belum selesai

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Misi skuad hoki kebangsaan layak ke separuh akhir Kejohanan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) Piala Negara-Negara 2022 di Potchefstroom, Afrika Selatan tercapai namun pemburuan skuad bimbingan A Arul Selvaraj itu masih belum selesai.

Malaysian Tigers akan turun untuk memburu tiket ke final esok menentang Ireland yang dilihat memiliki kelebihan daripada segi kekuatan pemain yang rata-ratanya bermain di Liga Belanda dan Belgium.

Namun buat Arul, skuad bimbingan juga mempunyai kelebihan setara yang mana momentum pemain kini berada di tahap yang terbaik selepas tewas perlawanan pembukaan kepada Korea Selatan.

Selain itu turun beraksi pada jam 1.30 tengah hari waktu tempatan juga memberi kelebihan buat pemain negara untuk menguasai perlawanan.

"Kekuatan pasukan Ireland terletak kepada individu mereka dan kekuatan kita pula adalah kelajuan yang dimiliki pemain yang dilihat mampu memerangkap lawan.

"Begitupun pasukan Ireland nampak kuat apabila mereka meraih sembilan mata penuh dari tiga perlawanan tapi momentum kita juga nampak bagus terutama selepas kalah kepada Korea pada perlawanan pertama," katanya.

Terdahulu skuad negara mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan bergaya apabila membelasah Jepun 5-1 dalam aksi terakhir untuk muncul naib juara Kumpulan B, semalam.

Juara kejohanan itu akan layak secara automatik ke Liga Pro FIH yang menghimpunkan pasukan terbaik dunia bagi musim 2023-2024.

Kejohanan itu juga menjadi medan persediaan terbaik skuad Malaysian Tigers yang akan beraksi di Piala Dunia 2023 di Bhubaneswar dan Rourkela, India, dari 13 hingga 29 Januari ini.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 3:51pm
d