Hoki

MSS Perak raih pengalaman

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sesuatu yang berguna dapat dipelajari barisan pemain MSS Perak selepas berpeluang menyertai pertandingan hoki Piala Mirnawan.

MSS Perak menutup aksi kejohanan itu di kedudukan kelima apabila menewaskan SSM Sabah (SSMS) menerusi penentuan shoot out 4-3 selepas kedudukan terikat 4-4 dalam kategori lelaki bawah 17 tahun, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Namun apa yang penting adalah pengalaman diraih barisan pemain muda Perak apabila berpeluang beraksi menentang pasukan luar seperti India dan Jepun.

Jurulatih Perak Mohd Nizam Mohd Hashim dapat menyaksikan keterujaan barisan pemain apabila dipilih beraksi kerana umum mengetahui kemampuan Perak melahirkan ramai pemain hoki kebangsaan.

"Kejohanan ini platform terbaik buat pemain remaja mengembangkan bakat selain berpeluang mengenal pasti kekuatan dan kelemahan. "Semua rasa bertuah apabila dapat beraksi menentang pasukan yang mempunyai kualiti lebih baik. Saya sangat harap usaha yang baik dari pihak MHC (Konfederasi Hoki Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), NHDP untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa ini akan dapat diteruskan untuk tahun akan datang buat pemain muda kita menunjukkan bakat dan pergi lebih jauh," kata Nizam yang membariskan seramai 17 pemain dari Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, Perak.

Sementara itu satu lagi perlawanan bagi penentuan tempat ketujuh kelapan menyaksikan NHDP Tigers mudah membelasah Singapura 10-0.

Disiarkan pada: December 2, 2022 @ 6:10pm
d