Hoki

Langkah Malaysia tersekat di separuh akhir

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Langkah pasukan hoki negara terhenti di peringkat separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas tewas kepada Ireland.

Skuad bimbingan Arul Selvaraj itu terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan Ireland dalam aksi yang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan.

Ireland meledak tiga gol padang menerusi Benjamin Walker pada minit ke-41 dan Jeremy Duncan yang mencetak dua gol minit ke-43 dan 52.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, menentang Korea Selatan.

Korea tewas menerusi penentuan penalti 3-2 kepada Afrika Selatan selepas terikat 1-1 di masa sebenar pada satu lagi aksi separuh akhir.

Sebaik tamat kejohanan, anak buah Arul akan mengalihkan fokus terhadap persiapan menghadapi Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 13 hingga 29 Januari ini.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 12:18am
d