Hoki

AIS naikkan 'saham' persatuan, atlet

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Penganjuran Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro bakal melonjakkan lagi 'saham' persatuan sukan dan atlet di negara ini dalam usaha menarik minat pelabur pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Dr S Shamala berkata, anugerah seumpama itu juga mampu menarik minat pihak luar untuk bekerjasama dengan persatuan sukan di negara dalam usaha membantu atlet meraih pencapaian di peringkat antarabangsa.

"Selain daripada pencapaian positif atlet atau ahli sukan di peringkat antarabangsa, anugerah seperti AIS ini juga membantu meningkatkan lagi 'saham' mereka dalam usaha menarik minat syarikat swasta untuk melabur dalam sukan.

"Saya kagum dengan inisiatif Harian Metro yang komited menganjurkan anugerah ini dan sudah tentu menaikkan lagi semangat atlet dan ahli sukan untuk berjaya di peringkat antarabangsa.

"Pada masa sama, persatuan juga terkena tempiasnya kerana lebih dikenali di kalangan peminat sukan di negara ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

MHC antara lima persatuan yang akan berentap di pusingan seterusnya bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Persatuan Badminton Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia.

Kelima-lima persatuan itu berentap kali kedua menerusi pemilihan membabitkan 50 peratus penilaian juri profesional dan 50 peratus lagi daripada undian pilihan peminat.

Pemenang akan diumumkan pada malam kemuncak AIS yang disiarkan secara langsung, Januari depan di saluran TV9 selaku penyiar rasmi bagi AIS manakala Gardenia Bakeries sebagai penaja utama.

Selain Anugerah Ikon Sukan Lelaki Breakthru, sebanyak tujuh lagi kategori utama dipertandingkan untuk AIS iaitu Ikon Sukan Wanita Breakthru; Ikon Sukan Paralimpik; Ikon Sukan Jurulatih; Ikon Sukan Persatuan/Kelab; Ikon Sukan Kepimpinan; Ikon Sukan Harapan; dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 5:55pm
d