Hoki

K Rajan serah PHNS tentu kedudukan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas membantu pasukan hoki wanita Negeri Sembilan mencipta sejarah muncul kejuaraan treble musim ini, jurulatih pasukan itu, K Rajan menyerahkan sepenuhnya kepada Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) mengenai kedudukannya akan datang.

Pengendali berasal dari Perak itu melakar sejarah tersendiri apabila membantu Negeri Sembilan memenangi tiga kejuaraan iaitu Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) dan Piala Vivian May Soars.

"Kontrak saya bersama Persatuan Hoki Negeri Sembilan hanya dalam tempoh setahun dan akan berakhir pada 1 Jun depan.

"Perkara itu (kedudukan jurulatih) terserah kepada persatuan kerana saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

"Apapun saya gembira dengan tugas telah dilakukan kerana tahun ini adalah sejarah buat pasukan ini kerana meraih pencapaian terbaik dengan menyapu bersih tiga piala yang dipertandingkan," katanya di sini, hari ini.

Rajan berkata, beliau amat menghargai komitmen dan kerja keras pemain pasukan itu sepanjang mengharungi saingan musim ini sehingga berjaya mencapai kejayaan luar biasa.

Mengulas lanjut mengenai kejayaan itu, beliau mengakui tujuh pemain kebangsaan yang menganggotai pasukan Negeri Sembilan antara tunjang utama pencapaian berkenaan.

"Mereka ada pengalaman dan skil permainan yang baik, namun tidak dinafikan usaha membawa masuk beberapa pemain muda turut memberi impak yang bagus kepada prestasi pasukan

"Saya berharap kejayaan ini akan mendorong lebih ramai pemain muda khususnya dari Negeri Sembilan untuk terbabit dalam sukan hoki.

"Kejayaan ini juga diharap dapat menjadi pencetus kepada kebangkitan sukan hoki di Negeri Sembilan terutama dalam melahirkan pemain berbakat untuk kepentingan sukan hoki negara pada masa hadapan," katanya.

Disiarkan pada: March 20, 2023 @ 7:26pm
d