Hoki

Ramai pemain THT layak wakili Malaysian Tigers

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kejayaan merangkul tiga trofi kejuaraan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini membuktikan Pasukan Hoki Terengganu (THT) mempunyai kualiti dan kekuatannya yang tersendiri.

Malah skuad bimbingan jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho dilihat mempunyai ramai pemain berbakat yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi termasuk membarisi skuad kebangsaan.

Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), I Vikneswaran yang melihat skuad The Turtles itu mempunyai ramai pemain berkualiti yang boleh diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Jelas pengurus pasukan hoki kebangsaan ke Sukan Sea di Kemboja 2023 dan jawatankuasa kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) itu, beberapa pemain boleh diberi peluang untuk menyarung jersi skuad kebangsaan selain empat tonggak skuad Piala Dunia 2023.

Beliau yang juga bekas ketua jurulatih THT musim 2019 dengan membantu pasukan itu menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala TNB menjelaskan, kapten pasukan THT, Mohd Fitri Saari yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sebelum ini boleh diberi peluang untuk menabur bakti bagi memperkuatkan lagi jentera tengah skuad Malaysian Tigers.

"Selain Mohd Fitri yang beraksi dengan baik sepanjang liga baru-baru ini, pemain lain yang boleh diketengahkan termasuk penyerang, Akhimullah Anuar Esook, Mohd Firdaus Omar, Abdul Khalid Hamirin dan Syarman Mat Tee.

"Pemain berkenaan berbakat dan mempunyai potensi tinggi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan berdasarkan persembahan mereka dalam saingan liga baru-baru ini.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada ketua jurulatih, Arul Selvaraj dan jawatankuasa kejurulatihan untuk menentukan dan menilai pemain yang boleh diserapkan dalam pasukan selain empat tonggak Piala Dunia kebangsaan iaitu Marhan Jalil, Shello Silverius, Faizal Saari dan penjaga gol berpengalaman, Muhammad Hafizuddin Othman," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 1:22pm
d