Hoki

Hafizuddin gembira dapat cipta sejarah peribadi

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Penjaga gol berpengalaman Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Hafizuddin Othman luahkan kegembiraan apabila impiannya untuk melakar sejarah peribadi pertama merangkul tiga trofi semusim dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) tercapai pada tahun ini.

Jelas pemain kelahiran Kuala Terengganu itu, kejayaan berkenaan adalah antara pencapaian tertinggi dalam kariernya selain beraksi membantu skuad kebangsaan menamatkan saingan Piala Dunia 2023 di India, Januari lalu dengan kedudukan ke-13.

Namun pemain berusia 31 tahun itu yang sudah membuat 91 penampilan bersama skuad kebangsaan akui belum puas lagi, sebaliknya mahu terus mencipta kejayaan demi kejayaan selagi masih ada kudrat dan khidmatnya diperlukan pasukan.

Kata pemain yang mula menyarung jersi THT sejak 2014 itu dengan membantu pasukannya itu merangkul enam kali kejuaraan liga, kejayaan kali pertama merangkul tiga trofi itu selepas terlepas pada musim lalu bakal menyuntik lagi semangatnya dan rakan sepasukan untuk mempertahankan gelaran itu pada musim depan.

"Kejayaan menjulang tiga trofi kejuaraan pada musim ini bermula Piala Sumbangsih, Piala Liga dan Piala TNB adalah pencapaian pertama dan tertinggi dalam karier sejak beraksi dalam saingan MHL selain mewakili negara ke pentas Piala Dunia buat kali pertama pada awal tahun lalu.

"Walau bagaimanapun sejujurnya saya mahu terus mencipta kejayaan selagi masih ada kudrat sama ada bersama skuad kebangsaan mahupun bersama pasukan THT, lagipun prestasi dan tahap persembahan semakin meningkat.

"Justeru saya harap impian berkenaan tercapai sebelum bersara, tapi buat masa ini saya belum memikirkan lagi bila mahu gantung kayu hoki, lagipun sukan ini bagaikan sudah sebati dalam jiwa," katanya yang menjelaskan tidak beraksi di pentas Sukan SEA di Kemboja pada Mei depan kerana jurulatih memberi peluang kepada pemain junior.

Ketika ditanya adakah dia mahu terus mewakili THT ataupun berhijrah bersama pasukan lain musim depan selepas beraksi cemerlang dalam saingan MHL, Hafizuddin menjelaskan hatinya tetap setia bersama THT.

"Insya-Allah jika boleh mahu kekal beraksi bersama pasukan negeri kelahiran pada musim depan untuk mempertahankan gelaran treble, tapi ianya bergantung kepada pasukan untuk menentukan kedudukan saya," katanya yang akui setakat ini belum mendapat tawaran daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmatnya.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 1:52pm
d