Seremban: Selepas berjaya membantu pasukannya mencipta sejarah menjulang kejuaraan treble tahun ini, kapten pasukan hoki wanita Negeri Sembilan, Noraini Abdul Rashid kini memberi fokus kepada persiapan menghadapi Sukan Sea di Kemboja, Mei depan.
Menurutnya, dia akan melaporkan diri kepada pasukan kebangsaan Ahad ini, sebelum menjalani persiapan latihan lanjut mengikut perancangan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).
"Saya antara beberapa pemain g terbabit dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Sea di Kemboja dan sentiasa bersedia untuk beraksi dalam skuad kebangsaan.
"Saya yakin akan terpilih ke temasya berprestij itu sekali gus bakal menjadi Sukan Sea kelima yang akan saya sertai," katanya di sini, hari ini.
Noraini berkata, dia perlu memastikan tahap kecergasannya berada dalam keadaan terbaik untuk membantu pasukan hoki wanita kebangsaan memberikan cabaran bermakna di Kemboja nanti.
"Dari segi rekod, pasukan hoki wanita kebangsaan kekal konsisten dalam menyumbang pingat emas buat kontinjen negara.
"Pastinya pencapaian terbaik itu akan menjadi sasaran utama apabila pasukan memulakan perjuangan di Kemboja nanti, malah secara peribadi pun, saya mahukan pasukan kami kekal menyumbang pingat emas buat negara," katanya.
Terdahulu, Noraini antara tonggak penting dalam membantu pasukan Negeri Sembilan menyapu bersih tiga trofi iaitu Piala Sumbangsih, trofi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) dan Piala Vivian May Soars 2023.
Dia menyifatkan kejayaan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan itu adalah suatu di luar dugaan.
Negeri Sembilan turut menjadi pasukan pertama yang memenangi Piala Sumbangsih apabila piala itu mula dipertaruhkan musim ini.