Sukan Lain

Daley selamba kait beg pingat

Oleh Agensi

Tokyo: Ketika acara terjun final 3 meter (m) papan anjal wanita berlangsung sengit semalam, lain pula dilakukan juara Olimpik, Tom Daley yang sibuk dengan hobinya iaitu mengait di tempat duduk penonton di Pusat Akuatik Tokyo.

Daley, 27, memenangi pingat emas pada Isnin Ialu bersama Matty Lee dalam acara terjun serentak 10m platform lelaki dan menjelang final individu lelaki, bintang Britain itu tampak tenang dengan jarum kaitnya.

Dia yang dikelilingi rakan sepasukan dan pegawai tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling sambil jari jemarinya lincah mengait produk berwarna merah jambu dan biru.

Selepas meraih emas awal minggu ini, dia mempamerkan hasil kaitannya iaitu beg kecil untuk pingat emas miliknya yang bercorak bendera Union Jack dan Jepun.

Menurut Daley, dia mengait beg itu bagi mengelakkan pingatnya bercalar.

Menurutnya dalam ciapan di Twitter: "Satu perkara membuatkan saya asyik dengan kerja ini ialah minat mendalam dalam seni kaitan fabrik dan jahitan. Saya juga boleh membawa ke mana sahaja pingat tanpa ia tercalar.''

Daley mungkin mengait satu lagi beg jika dia menang acara final individu pada Jumaat ini.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 8:27am
d