Sukan Lain

Kristina selamat dalam jagaan polis

Oleh AFP

Moscow: Atlet Belarus, Kristina Timanovskaya berkata dia berasa selamat di bawah pengawasan polis di Jepun selepas mendakwa negaranya memaksa dia meninggakan Olimpik Tokyo.

"Saya selamat dan mereka dalam proses memastikan di mana saya akan tidur malam ini,'' kata Kristina dalam kenyataanya di Telegram yang disiarkan Belarusian Sport Solidarity Foundation (BSSF), organisasi yang menyokong perjuangan atlet.

Kristina yang berusia 24 tahun berkata, pegawai pasukan cuba menyingkirkannya dari Jepun selepas mengkritik badan induk olahraga Belarus yang menyenaraikan atlet itu dalam acara berganti-ganti di Tokyo tanpa pengetahuannya.

"Ketua kami selalu menentukan semua keputusan untuk kami," katanya di Instagram yang tidak boleh lagi diakses.

Kristina dalam kenyataan berasingan mendakwa dia mungkin tidak bertindak sejauh itu jika diberitahu lebih awal dengan menjelaskan situasi yang berlaku serta bertanya adakah dia boleh berlari dalam acara 400 meter.

"Tetapi mereka membuat semua keputusan di belakang saya,'' katanya.

Sementara itu, BSSF berkata pegawai Belarus cuba memaksa Kristina keluar segera dari Jepun.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 8:51am
d