Sukan Lain

Sukan Sea Vietnam dianjur Mei 2022

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Selepas ditangguh berikutan pandemik Covid-19, Sukan Sea Vietnam 2021 dijadual berlangsung pada pertengahan Mei 2022.

Perkhabaran itu sekali gus menjawab segala persoalan status kejohanan dwi tahunan itu dan tarikh lebih tepat akan dimaklumkan pada akhir bulan ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, memaklumkan jumlah acara yang akan dipertandingkan nanti turut ditentukan selepas pihak penganjur mengenal pasti venue dan lokasi pertandingan.

"Diharapkan dengan kepastian ini, atlet dan pegawai kita tidak lagi berada dalam keadaan tidak menentu.

"Kita lihat program diadakan di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sudah bermula selepas kita menghadapi Sukan Sea Filipina.

"Kita dalam dilema kerana Covid-19 dan juga kerana Vietnam masih belum membuat keputusan. Namun dengan adanya keputusan ini, kami berharap kita dapat terus fokus dengan persediaan dan pihak pemilihan juga akan memulakan mesyuarat serta perbincangan untuk menentukan pembahagian atlet.

"Ini kerana kita semua sedia maklum pada tahun depan kita sibuk dengan sukan besar seperti Komanwel dan Asia.

"Jadi bagi saya, kita perlu duduk berbincang namun ini satu kelegaan," katanya pada sidang media selepas menyertai mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan Sea (SEAGF) yang diadakan secara maya, hari ini.

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 6:47pm
d