Sukan Lain

Sambut baik cadangan pembangunan Pusat Belia Perak

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kerajaan negeri Perak belum mendapat surat tawaran rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan berhubung cadangan pembangunan Pusat Belia Perak di sini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagaimanapun pihaknya menyambut baik cadangan pembangunan itu untuk kebaikan belia di negeri ini itu.

"Saya pun baru tahu hari ini, Insya-Allah kita akan tunggu surat rasmi tawaran daripada kerajaan pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan.

"Apabila sampai (tawaran) kepada kerajaan negeri sudah tentu kita akan menyambut ia dengan baik dan menjadi tanggungjawab kita menyediakan tanah berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pembangunan Negeri Perak (MTPNg) di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Saarani berkata, setakat ini tiada perbincangan antara kerajaan negeri dan kementerian berhubung perkara itu.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan peruntukan RM45 juta bagi membina Pusat Belia Perak di Ipoh.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan berkata, tapak bagi pembinaan Pusat Belia itu sudah dikenal pasti di dalam daerah Kinta yang kini memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Disiarkan pada: May 9, 2022 @ 7:48pm
d