Sukan Lain

Ervin tamatkan kemarau pingat emas

Kuala Lumpur: Ervin Chang menamatkan penantian 21 tahun Malaysia untuk pingat emas dalam sukan golf di Sukan Sea selepas menang dalam aksi playoff tiga lubang menentang pemain Indonesia, Amadeus Christian Susanto, hari ini.

Ervin dengan tenang melakukan birdie pada lubang tambahan ketiga di Padang Golf dan Resort Heron Lake untuk muncul atlet Malaysia pertama menjadi juara selepas kuartet lelaki, Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin meraih emas berpasukan lelaki di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.

Ervin sebelum itu bangkit daripada ketinggalan dua pukulan untuk mencatat empat bawah par 68 dan keseluruhan tujuh bawah par 209 dengan Amadeus memaksa saingan ke aksi playoff.

Gangsa menjadi milik Weerawish Narkprachar dari Thailand selepas menduduki tempat ketiga dengan 210, satu pukulan di depan rakan senegaranya termasuk pendahulu terdahulu, Arsit Areephun dan Ratchanon Chantananuwat.

Aksi individu wanita juga memberikan khabar gembira apabila Jeneath Wong merangkul gangsa.

Jeneath mencatatkan 69 untuk menutup aksi tiga hari dengan keseluruhan 211, ketinggalan sembilan pukulan di belakang pemenang, Natthakritta Vongtaveelap dari Thailand.

Pemain Singapura, Aloysa Mabuta Margiela Atienza menamatkan saingan di tempat kedua untuk perak dengan catatan 209.

Disiarkan pada: May 15, 2022 @ 5:15pm
d