Sukan Lain

Gimrama sasar satu emas

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pasukan gimrama negara tidak mahu pulang dengan tangan kosong apabila mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas buat Malaysia di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai ini.

Walaupun tampil pada edisi kali ini tanpa pemenang emas di edisi 2018 di Gold Coast, Australia, Amy Kwan namun kilauan warna pingat itu tetap disandarkan pada tiga gimnas negara iaitu Koi Sie Yan, Ng Joe Ee dan Izzah Amzan.

Pengurus pasukan, Afrita Ariany Nasril berkata, sasaran terbabit diletakkan berdasarkan kepada prestasi ketiga-tiga gimnas itu yang dilihat mempunyai kelebihan dalam aparatus masing-masing.

"Untuk Sukan Komanwel kali ini, ada tiga gimnas yang akan berjuang bagi mendapatkan satu emas dalam aparatus individu. Satu emas ini akan diperoleh daripada tiga gimnas ini daripada aparatus yang dipertandingkan di sana nanti.

"Bagi saya, ketiga-tiga mereka mempunyai peluang cerah untuk mendapatkan pingat emas itu," kata Afrita kepada media selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Afrita yang juga Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) berkata, persiapan pasukan kini berada di landasan tepat dengan yang terdekat dijadual menyertai dua latihan pusat di Baku, Azerbaijan dan Belarus sebelum temasya bermulanya temasya empat tahun sekali itu.

Dalam pada itu, Shahrul gembira dengan perkembangan prestasi dipamerkan pasukan gimrama menjelang temasya selain mengharapkan tuah bakal memihak kepada negara dalam sukan subjektif berkenaan.

"Satu perkembangan yang sangat menggembirakan kita dan kita berharap mereka kekal fokus dan memberikan persembahan terbaik di Birmingham.

"Kita mengharapkan sekurang-kurangnya satu emas daripada gimnastik berirama ini. Namun diharapkan pada hari pertandingan, pengadil juga OK. Semoga nasib menyebelahi kita kerana seperti diketahui, gimnastik berirama ini sama seperti beberapa sukan lain di mana ia sangat subjektif.

"Oleh itu, kita harap nasib juga menyebelahi kita selain daripada menunjukkan prestasi yang terbaik," katanya.

Di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Amy yang mengumumkan persaraannya pada 2020 menghadiahkan satu emas dalam acara riben dan satu perak dalam acara all around berpasukan bersama Sie Yen dan Izzah.

Selain itu, Amy turut meraih gangsa dalam acara individu all around dan gelung.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 9:23pm
d