Sukan Lain

Jacobs tarik diri, Duplantis cipta rekod lagi

Oleh Agensi

Stockholm: Mondo Duplantis berada di prestasi terbaik menjelang kejohanan dunia apabila menamatkan aksi dengan penuh bergaya di Liga Berlian di Stockholm dengan rekod baru kejohanan luar dewan.

Walaupun juara Olimpik Marcell Jacobs menarik diri pada saat akhir dalam acara riben biru 100m lelaki, Duplantis memastikan aksi penuh bergaya berakhir di lapangan olahraga.

Pada kejohanan terakhir sebelum kejohanan dunia berlangsung dari 15 hingga 24 Julai di Eugene, Oregon, Duplantis mencatatkan ketinggian 5.83m pada percubaan ketiganya.

Atlet kelahiran Amerika Syarikat itu (AS) kemudiannya melepasi ketinggian 5.93 dan 6.03m sebelum melepasi 6.16m pada percubaan kedua, aksi terbaik di lapangan terbuka dan 1cm lebih baik dari yang dilakukan di Rome pada September 2020.

Juara Olimpik berusia 22 tahun itu memegang rekod dunia dengan ketinggian 6.20m dilakukan di Kejohanan Tertutup Dunia di Belgrade Mac lalu.

Dengan baki masa yang tinggal untuk mempersiapkan diri menjelang kejohanan dunia di Eugene, Jacobs yang melakarkan kejutan meraih emas di Olimpik Tokyo tahun lalu menarik diri dalam acara 100m kerana mengalami kecederaan.

"Situasi berada dalam keadaan terkawal. Dia mengalami kesakitan di bahagian ototnya," kata jurulatih Jacobs, Camossi.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 10:13am
d