Sukan Lain

Impian jadi kenyataan - Dhabitah

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat penerjun wanita negara Nur Dhabitah Sabri apabila berjaya memenangi pingat pertamanya di Kejohanan Dunia dalam acara 10 meter (m) platform seirama bersama gandingannya, Datuk Pandelela Rinong, awal pagi tadi.

Bukan tidak yakin kepada keupayaan dirinya, Dhabitah berkata, persaingan daripada peserta lain yang cukup hebat menyaksikan agak sukar untuk memenangi pingat terutama pada peringkat awal persaingan.

"Masih rasa bagai mimpi apabila berjaya memenangi pingat pertama saya di Kejohanan Dunia. Saya sangat bersyukur kerana mempunyai rakan gandingan yang baik untuk membantu saya mengharungi saingan dalam acara ini.

"Saya juga tidak boleh melakukannya tanpa bimbingan jurulatih selain pasukan sokongan yang memberi sokongan padu di venue pertandingan dan penyokong yang menakjubkan di tanah air," kata Dhabitah menerusi laman Instagram miliknya.

Aksi yang berlangsung di Budapest, Hungary itu menyaksikan Dhabitah dan Pandelela meraih gangsa selepas mengutip keseluruhan 298.68 mata manakala pasangan China Chen Yuxi dan Quan Hongchan menepati ramalan apabila memenangi emas dengan catatan 368.40 mata.

Pasangan dari Amerika Syarikat, Delaney Schnelle dan Katrina Young mengutip 299.40 mata untuk meraih perak.

Sebagai rekod, ia adalah pingat pertama untuk kerjaya Dhabitah di Kejohanan Dunia selepas gagal menaiki podium dalam tiga edisi terdahulu pada 2015, 2017 dan 2019.

Sementara itu, Pandelela berkata, kejayaan itu cukup bermakna terutama selepas berjaya membawa pulang gangsa kedua peribadinya pada edisi kali ini selepas turut memenanginya dalam acara 10m platform individu Selasa lalu.

Ini adalah kejayaan podium ketiga buat gandingan Dhabitah-Pandelela selepas memenangi gangsa Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan emas Sukan Sea Hanoi 2021.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 11:14am
d