Sukan Lain

Jackie sasar layak ke final di Birmingham

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Sasaran untuk melangkah ke pusingan akhir di Sukan Komanwel Birmingham bukanlah mimpi di siang hari buat atlet tukul besi negara Jackie Wong untuk merealisasikan matlamat itu kelak.

Hal ini kerana, Jackie berkata, berdasarkan kepada prestasi terkini dengan rekod yang pernah diciptanya membolehkannya berada dikalangan 10 peserta terbaik dalam acara tukul besi di temasya empat tahun sekali itu.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Hanoi itu berkata, sudah pastinya dia akan menerima tentangan sengit daripada atlet lain sekali gus akan membuat persiapan rapi dalam tempoh sebulan sebelum temasya terbabit bermula pada 28 Julai ini.

"Saya yakin mampu melangkah ke pusingan akhir di Sukan Komanwel terbabit kerana berdasarkan kepada ranking saya berada di kedudukan ke lapan dan kesembilan.

"Tempoh latihan selama sebulan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan membuat persiapan rapi dan perbaiki lagi prestasi.

"Seperti sedia maklum kita berhadapan dengan lawan daripada negara kuasa besar sukan namun perkara penting adalah yakin dan berusaha melakukan yang terbaik," katanya.

Mengikut rekod, kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham mempertaruhkan tujuh atlet olahraga yang terdiri daripada Nauraj Singh(lompat tinggi), Andre Anura(lompat kijang), Irfan Shamsuddin(lempar cakera) Grace Wong(tukul besi), Russel Alexander Nasir Taib (200 meter) Shereen Samson Vallabouy (400 meter) dan Jackie Wong(tukul besi).

Selain itu, Jackie berkata, dia juga memasang impian untuk memperbaharui rekod peribadi miliknya yang dipegang tiga tahun lalu ketika beraksi di temasya berkenaan.

Ketika ini, Jackie masih memegang rekod kebangsaan iaitu 68.22 meter (m) sejak tiga tahun lalu sekali gus menjadi peniup semangat untuk mencipta keputusan lebih baik pada penyertaan di kejohanan akan datang.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 2:30pm
d