Sukan Lain

Masih belum ada kilauan emas dari terjun

Oleh Daripada Amirullah Andi Nur

Birmingham: Masih belum ada kilauan pingat emas dari kolam terjun apabila gandingan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri gagal menepati sasaran pada aksi final acara 10 meter (m) platform seirama Sukan Komanwel 2021 di sini, sebentar tadi.

Pada saingan final di Pusat Akuatik Sandwell, mereka terpaksa akur menduduki tempat keempat selepas hanya dapat mengumpulkan 286.92 mata menerusi lima terjunan.

Gandingan Pandelela-Dhabitah sebelum ini adalah antara sandaran utama kontinjen negara untuk meraih pingat emas daripada enam yang disasarkan.

Sebagai rekod, Pandelela berjaya menyumbang emas dalam acara 10m platform seirama ini bersama Cheong Jun Hoong pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Dalam lima terjunan tadi, Pandelela-Dhabitah hanya mencatatkan markah terendah pada sesi keempat yang menyebabkan terjunam dari tangga kedua kepada tercorot dari enam gandingan.

Pada terjunan pertama gandingan mereka berjaya mendapat 48.60 mata untuk menduduki tempat keempat, sebelum bangkit dengan catatan 51 mata pada terjunan kedua untuk himpunan 99.60 dan seterusnya menduduki tempat kedua.

Bagi terjunan ketiga, mereka mencatatkan 70.20 mata untuk himpunan 169.80 mata sekali gus terus kekal di tempat kedua.

Bagaimanapun pada terjunan keempat, mereka gagal mengekalkan persembahan selepas Nur Dhabitah melakukan kesilapan apabila mencatatkan 41.28 mata untuk himpunan 211.08 dan kemudian turun di tempat tercorot.

Pandelela-Dhabitah kemudian berjaya bangkit pada terjunan terakhir dengan mengutip 75.84 mata untuk keseluruhan 286.92, namun ia sudah terlambat apabila terpaksa berpuas hati di tempat keempat.

Pingat emas acara ini dimenangi wakil Australia, Melissa Paige Li Kun Wu-Charlie Petrov dengan himpunan 306.00 mata manakala perak milik gandingan England, Eden Cheng-Andrea Sirieix Spendolini (298.86 mata) dan gangsa pula dimenangi Robyn Birch-Emily Martin dari England (287.88).

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 10:52am
d